ZAMAN PENJAJAHAN PORTUGIS, BELANDA, BRITISH DAN JEPUN


PENGENALAN


Tanah Melayu merupakan kawasan yang strategik yang berada di tengah-tengah jalan perdagangan antara timur dan barat. Sumber alam semulajadinya yang melimpah luah seperti rempah, bijih timah dan hasil-hasil hutan menarik minat kuasa asing dari eropah untuk menguasainya. Portugis, Belanda, British dan Jepun adalah kuasa-kuasa asing yang telah menjajah Tanah Melayu dan mengaut hasil bumi Tanah Melayu untuk kepentingan mereka. British merupakan negara penjajah yang paling banyak meninggalkan kesan ke atas sosio budaya  di Tanah Melayu. 
               
Penjajahan di Tanah Melayu bermula apabila Portugis menakluki Melaka pada 1511 sehingga 1641, Belanda pada tahun 1641 sehingga 1824, British 1824 sehingga 1957 dan Jepun 1941 sehingga 1945.



PENJAJAHAN PORTUGIS DI TANAH MELAYU 


Kejatuhan Melaka ke tangan orang Portugis berlaku pada 1511. Portugis berhasrat menggunakan pelabuhan Melaka sebagai pengkalan untuk mengawal kuasa perdagangan mereka di Pulau Hindia Timur. Di samping itu, tujuannya adalah untuk menghancurkan agama Islam dan mengembangkan agama Kristian serta memecahkan monopoli perdagangan yang selama ini dikuasai oleh orang Islam. Orang yang bertanggungjawab merencanakan strategi menawan Melaka ialah Alfonso d’ Albuquerque.

Bagi mencapai matlamatnya, Albuquerque telah menawan Goa di India pada 1510 untuk dijadikan markas kekuasaan dan gerakan Portugis di Timur. Pada 1509, Lopez de Sequeira telah dihantar untuk memulakan hubungan dagang dengan Melaka. Setibanya mereka di Melaka, rombongan de Sequiera telah ditahan.Walau bagaimanapun, de Sequiera berjaya melarikan diri dan melaporkan peristiwa tersebut kepada Alfonso.Dengan alasan penahanan rombongan tersebut, Alfonso telah menghantar angkatan tenteranya untuk menyerang Melaka. Serangan ke atas Melaka telah dimulakan pada 1 Julai 1511 dan akhirnya Melaka telah berjaya ditakluki oleh Portugis pada bulan Ogos 1511.


SISTEM PENTADBIRAN
PERDAGANGAN OLEH PORTUGIS

*  Kapal-kapal pedagang diwajibkan   membayar cukai sebanyak 6-10% daripada     hasil dagangan mereka .

 Seorang pedagang perlu mendapatkan pas    kebenaran untuk berdagang .

 Portugis memonopoli barang dagangan  
   utama .

*  Diskriminasi terhadap pedagang Islam .

KESAN PENJAJAHAN PORTUGIS

a.  Membawa kepada kemunculan kerajaan Melayu Riau.

b.  Memerkenalkan system pentadbiran kerajaan di Melaka.

c.   Kesan peninggalan: Kota A’Famosa,Gejera St.Paul,Portuguese Dance.

d.  Kelahiran masyarakat serani.

e.  Pengenalan tulisan rumil kepada masyarakat Melayu.

f.   Perkataan bahasa Portugis (jendela, almari, garpu, mancis dan tuala).






PENJAJAHAN BELANDA DI TANAH MELAYU



FAKTOR FAKTOR PENJAJAHAN BELANDA
    
Belanda mula memberi perhatian kepada Kepulauan Melayu pada hujung kurun ke 17 bagi memperolehi rempah secara langsung dari timur dan bukan melalui orang Portugis. Oleh itu, untuk menguasai gugusan ini mereka perlu menguasai Melaka yang merupakan tempat strategik. Beberapa percubaan Belanda untuk mendapatkan Melaka daripada penguasan Portugis pada tahun 1606, 1608, 1623 hingga 1627 telah gagal.  Namun orang Belanda dapat menewaskan Portugis selepas enam bulan dikepung dan diserang oleh askar Belanda yang dibantu askar Johor terdiri daripada 40 buah perahu perang membawa 1500 orang askar Melayu pimpinan Laksaman Tun Abdul Jamil. Pada 14 Januari 1641 Belanda berkuasa di Melaka setelah 130 tahun Portugis menduduki Melaka(1511-1641). Belanda meluaskan perdagangan di Tanah Melayu dengan membuat perjanjian perdagangan yang biasanya menguntungkan Belanda sahaja . Ini menimbulkan penentangan orang Melayu khususnya pembesar-pembesar terutama di Naning, Perak, Johor, dan Selangor.



Era penjajahan Portugis berakhir setelah 130 tahun menjajah Melaka dan bermula pula era penjajahan Belanda. Ekspedisi yang terawal tiba di Kepulauan Melayu pada tahun 1559. Pedagang Belanda amat berminat untuk berdagang di Kepulauan Melayu ini kerana hendak mendapatkan bahan-bahan rempah, buah pala dan cengkih. Ini telah mendorong pedagang-pedagang Belanda ini bergabung membentuk “Syarikat Bersatu Hindia Timur” pada 20 Mac 1602 yang digelar V.O.C.Tujuan utama penubuhan VOC adalah menguasai perdagangan rempah dan memonopoli perdagangan bijih timah.Mereka juga ingin menyingkir Portugis yang sedang bergiat dalam perdagangan di rantau Melayu. Pada tahun 1619, Belanda telah berjaya menguasai Betawi di Pulau Jawa. Betawi telah dijadikan pelabuhan perdagangan alternatif kepada pedagang-pedagang dunia selain Melaka.Untuk memastikan penguasaan Portugis di Asia Tenggara lenyap sama sekali, Belanda telah beberapa kali melancarkan serangan ke atas Melaka. Akhirnya mereka berjaya menewaskan Portugis dengan bantuan Kerajaan Johor iaitu kerajaan warisan dari Kesultanan Melayu Melaka pada tahun 1641.

Kerajaan Johor pada ketika tu di bawah pemerintahan Sultan Abdul Jalil, pengganti Sultan Hammat Shah. Belanda cuba meluaskan pengaruhnya dalam perdagangan di negara ini dengan melampaui sempadan Melaka. Pada tahun 1650, Belanda cuba memonopoli perdagangan timah dengan Perak dengan mengadakan satu perjanjian. Walaubagaimanapun, penduduk tempatan mula menyedari sikap mereka itu.Persaingan perdagangan antara Johor dan Belanda sejak persahabatan mereka terjalin selepas kejatuhan Portugis di Melaka nampaknya menjadi seolah-olah “retak menanti belah”. .Keadaan ini akhirnya mencetuskan pertikaian yang melibatkan tindakan ketenteraan oleh pihak Belanda ke atas Johor pada akhir abad ke 18.



Belanda di Melaka berusaha menguasai perdagangan di selat Melaka khususnya bijih timah. Oleh itu Belanda cuba mendapatkan kuasa memonopoli membeli dan menjual bijih timah di Perak. Belanda cuba mempengaruhi Sultan Perak (Sultan Muzaffar Syah) membenarkan Belanda memonopoli bijih timah di Perak tetapi hasratnya ditolak. Dengan ini Belanda menemui Sultan Acheh iaitu Sultanah Tajul Alam Safiatuddin bagi membenarkan Belanda berdagang di Perak. Keadaan ini menyebabkan Sultan Perak terpaksa menandatangani perjanjian dengan membenarkan Belanda mendirikan lojinya di Kuala Perak pada 15 Ogos 1650. Perhubungan ini tidak disenangi oleh segolongan bangsawan Perak terutama Syahbandar dan Temenggung. Mereka menganggap perjanjian tersebut menghalang kebebasan mereka kerana sebelum ini mereka menjual bijih timah kepada saudagar Cina dan India denga harga yang tinggi berbanding Belanda yang menawarkan tawaran yang rendah dan tidak menarik .

KESAN PENJAJAHAN BELANDA TERHADAP TANAH MELAYU

Belanda menawan Melaka pada tahun 1641 daripada Portugis. Antara kesan yang ditinggalkan oleh penjajahan belanda di tanah melayu adalah beberapa tinggalan binaan yang dibina semasa penjajahan pada masa dahulu seperti bangunan Stadhuys,Melaka dan Kota Belanda (Ducth Fort),Pulau Pangkor.






PENJAJAHAN BRITISH DI TANAH MELAYU


Secara umumnya terdapat beberapa faktor yang menyebabkan berlakunya campur tangan dan perluasan kuasa Inggeris di negeri-negeri Melayu termasuk Sabah dan Sarawak. Antara faktor-faktor tersebut seperti faktor ekonomi, politik dan sosial.

FAKTOR EKONOMI

Pada kurun ke-19, beberapa ciptaan terbaru telah berjaya ditemui yang memerlukan penggunaan bijih timah. Bijih timah amat diperlukan dalam perusahaan mengetin makanan dan minuman. Pelaksanaan dasar imperialisme Barat ini adalah lanjutan kepada perkembangan sistem ekonomi kapitalisme dan pengamalan suatu dasar ekonomi yang dikenali sebagai merkantilisme pada abad ke-16 dan ke-17.

Kapitalisme ialah sistem ekonomi yang menggalakan pengumpulan modal, hak milik persendirian, persaingan untuk pasaran dan perniagaan untuk keuntungan. Sementara merkantilisme merupakan sistem yang menjadikan  sesebuah negara kaya dan berkuasa. Dengan kata lain, sistem ini menekankan kekayaan dan kekuasaan sesebuah negara.

Rentetan itu, pihak barat terutamanya British berlumba-lumba melaksanakan dasar imperialisme bagi tujuan menambahkan sumber dan hasil ekonomi mereka.Tanah Melayu amat terkenal dengan kekayaan hasil bumi, ini merupakan sebab utama British ingin menjajah dan menguasai segala punca ekonomi dan mengeksploitasi hasil bumi yang ada. Apa yang jelas ialah pelaksanaan dasar kolonialisme British khasnya ke atas Tanah Melayu bertujuan untuk mendapatkan keperluan bahan mentah dan mengembangkan pasaran dan pelaburan British.


FAKTOR POLITIK
     
a. Masalah yang berlaku di  negeri-negeri Melayu.

Perang saudara antara pembesar-pembesar Melayu dalam merebut takhta dan kawasan. Contohnya di Perak, British mengambil kesempatan ini akibat perebutan takhta kerajaan Perak dan perbalahan antara kumpulan kongsi gelap Cina. 

British campur tangan di Selangor kerana mengambil kesempatan dari perbalahan pembesar-pembesar Melayu iaitu antara Raja Abdullah dan Raja Mahadi yang bersaing untuk menguasai daerah Klang yang kaya dengan Bijih Timah.

b. Perubahan  Politik dan Dasar di Britain

Pihak Barat telah melaksanakan dasar kolonialisme dan imperialismenya dalam usaha mengembangkan pengaruhnya ke seluruh pelusuk dunia. Perkembangan dasar ini adalah hasil daripada perubahan sistem politik, pandangan hidup, dan penciptaan teknologi baru.Semenanjung Tanah Melayu adalah destinasi yang menjadi tumpuan utama pihak Barat terutamanya British kerana  banyak sumber dan hasil bumi yang belum dieksploitasi oleh penduduk tempatan.
Pihak British telah melihat Semenanjung Tanah Melayu sebagai pangkalan utama yang boleh mendatangkan keuntungan besar kepada mereka untuk menyokong perkembangan yang berlaku di dalam negara. Pembukaan Terusan Suez dalam tahun 1869, mempercepatkan urusan perdagangan. Kesan daripada perkembangan ini, kegiatan perdagangan antara Asia dan Benua Eropah semakin meningkat kerana perjalanan yang jauh antara kedua-dua kawasan ini telah dipendekkan. Peningkatan perdagangan ini dapat dilihat daripada pembukaan beberapa pelabuhan yang baru seperti Singapura yang telah menjadi pelabuhan antarabangsa selepas tahun 1870.

 c.  Faktor Kebimbangan Campur Tangan Kuasa-Kuasa Asing

Selain British, kuasa Barat lain seperi Perancis, Itali, Jerman, dan Rusia sedang bersaing untuk meluaskan jajahan taklukan masing-masing. Pada tahun 1870-an  kuasa-kuasa asing seperti Itali, Perancis, Jerman dan Rusia bersaing untuk mendapatkan tanah jajahan yang akan dijadikan sebagai pembekal bahan-bahan mentah.
Tanpa pengawalan politik dan campur tangan dalam pentadbiran tempatan, kuasa-kuasa ini boleh masuk dengan mudah melalui persahabatan dan hubungan perekonomian dengan raja-raja Melayu. Justeru itu, campur tangan dianggap jalan terbaik bagi British untuk mengelakkan fenomena ini. 



FAKTOR SOSIAL

Penyebaran Agama Kristian

Kuasa  barat juga mempunyai keyakinan yang sama dengan menggunakan ungkapan tugas untuk menyebarkan  dan mengembangkan Agama Kristian di Asia Tenggara dan hasilnya ramai penduduk di tanah jajahan menganut agama ini. ( Gold, Gosper, and Glory )

REAKSI AWAL MASYARAKAT TEMPATAN

Sejak kejatuhan kerajaan Melaka, negeri-negeri di Tanah Melayu telah beberapa kali ditawan dan dijajah oleh kuasa asing seperti Portugis, Belanda, British dan Jepun. Rakyat negara ini sentiasa berjuang dalam usaha untuk menghalau penjajah dan memerdekakan Tanah Melayu. Rakyat Tanah Melayu sanggup berjuang dan berkorban nyawa untuk membebaskan tanah air dari kuasa penjajah. Keadaan ini dapat dilihat di negeri Kedah, Perlis, Terengganu dan Kelantan yang pernah dinaungi oleh kerajaan Siam tetapi sentiasa melancarkan
serangan untuk kebebasan. Perjuangan untuk mencapai kemerdekaan ini lahir dalam beberapa peringkat dan keadaan iaitu :

a.   Peringkat awal yang berupa penentangan bersenjata dan libatkan pertumpahan darah.
b.   Peringkat keseluruhan yang menglibatkan isu dan media tertentu.


PERINGKAT AWAL PENENTANGAN BERSENJATAMENENTANG PENJAJAH

Penentangan yang tercetus diperingkat awal oleh masyarakat tempatan berjaya dipatahkan oleh kerajaan British. Ini menunjukan lahirnya semangat nasionalisme di kalangan masyarakat tempatan dan penentangan terhadap penjajah untuk menuntut kemerdekaan.


PENENTANGAN DI NANING

Melalui Perjanjian Inggeris - Belanda pada 17 Mac 1824, Melaka diletakkan di bawah kuasa British. British mendakwa Naning merupakan sebahagian daripada wilayah Melaka (Naning terletak di sempadan daripada antara Melaka dan Negeri Sembilan). Gabenor Fullerton berpendapat penduduk Naning perlu membayar 1/10 daripada hasil ekonomi mereka kepada kerajaan British di Melaka. Hal ini mendapat tentangan daripada Dol Said iaitu penghulu Naning.

Gabenor Fullerton

Perang Naning yang tercetus pada Julai 1831 bermula dengan British menghantar pasukan tentera untuk menangkap Dol Said dan memaksa pengikut-pengikutnya menerima cadangan British tetapi serangan yang pertama British dapat  ditewaskan oleh Dol Said. Pada tahun 1832 Dol Said telah melancarkan serangan kedua dengan mendapat sokongan daripada penduduk Rembau, Sri Menanti, dan Sungai Ujong tetapi juga tewas. Oleh itu pihak British mengisytiharkan Naning sebahagian daripada wilayah Melaka. Pada bulan Februari 1834 Dol Said telah menyerah diri dan dibenarkan menetap di Melaka. 


PENENTANGAN DI SELANGOR

Pada tahun 1849 Penguasa daerah Klang iaitu Raja Sulaiman telah mangkat dan digantikan dengan  Raja Abdullah dengan mengenepikan Raja Mahadi iaitu anak Raja Sulaiman. Hal ini menyebabkan berlakunya permusuhan antara 2 kelompok iaitu kelompok Raja Mahadi dan kelompok Raja Abdullah. Pada tahun 1867, Raja Mahadi berjaya mengusir Raja Abdullah dari Klang.  Apabila Raja Abdullah mangkat, anaknya Raja Ismail pula memusuhi Raja Mahadi.

Dalam tahun 1868 Sultan Selangor telah melantik Tengku Kudin sebagai wizurai Selangor untuk menghentikan permusuhan tersebut. Tengku Kudin telah berpihak kepada Raja Ismail dan telah membantunya merampas semula daerah Klang pada tahun 1870. Pada masa yang sama pihak  British juga turut memberi sokongan kepada Raja Ismail. Walaupun peristiwa di Selangor lebih mirip perang saudara tetapi disebabkan campur tangan British dalam perang tersebut, tentangan daripada Raja Mahadi sudah menampakkan tentangan penduduk tempatan terhadap penjajahan British. 


PENENTANGAN DI PERAK

Perjanjian Pangkor pada 20 Januari 1874, telah meletakkan J.W.W. Birch sebagai Residen British yang pertama di Perak. Sistem Residen tidak mendapat kerjasama daripada Sultan Abdullah dan pembesar Melayu yang lain disebabkan oleh sikap Birch. Ketidakpuasan terhadap Sistem Residen dan sikap peribadi Birch telah membawa kepada komplot antara pembesar Melayu untuk membunuhnya.

J.W.W. Birch

Sultan Abdullah dan Raja Ismail telah menghantar senjata kepada Dato Maharajalela dan beliau telah mengarahkan supaya Pandak Indut dan Seputum membunuh Birch. Birch telah berjaya dibunuh di Pasir Salak pada 12 November 1875. Terdapat juga beberapa sebab lain yang menjadi punca penentangan di Perak iaitu :

a.   Kerajaan British dan Birch telah menyekat hak untuk mengutip cukai yang sebelum ini diamalkan oleh pembesar Melayu. Kutipan cukai adalah sumber pendapatan utama pembesar Melayu ketika itu.

b.   Kerajaan British telah menggunakan Birch untuk memaksa Sultan Abdullah menandatangani surat penyerahan kuasa kepada kerajaan Inggeris.

c.   Pembaharuan yang diperkenalkan terlalu mendadak. Contohnya menghapuskan sistem pengabadian iaitu seseorang menjadi hamba pemiutang kerana tidak mampu untuk membayar hutang. Selain itu, Birch juga memberi perlindungan kepada hamba-hamba yang lari daripada tuannya. Campurtangan dalam adat istiadat orang Melayu juga telah menambahkan kemarahan kepada pembesar Melayu.

d.   Sikap Birch juga telah menambahkan kemarahan pembesar Melayu. Antaranya seperti  Birch telah melaksanakan pembaharuan yang terburu-buru dan tindakannya itu tidak mengambil kira perasaan orang Melayu. Birch juga tidak pandai  berbahasa Melayu dan ini telah menyukarkan beliau untuk berkomunikasi dengan orang Melayu. Selain itu, sikap Birch yang sangat kasar misalnya beliau pernah membakar rumah 2 orang pembesar Perak iaitu Raja Ngah Ibrahim dan Tengku Paling Besar yang berkuasa memungut cukai.

British telah menyerang Pasir Salak pada 15 November 1875 kerana bertindak balas terhadap pembunuhan Birch. Dato Maharaja Lela, Dato Sagor, Pak Indut dan Seputum digantung di Matang pada Januari 1879. Sultan Abdullah dan Raja Ngah Ibrahim didapati bersubahat dan dibuang negeri ke Pulau Seychelles. 


PENENTANGAN DI PAHANG

J.P Rodger 
J.P Rodger telah dilantik menjadi residen yang pertama di Pahang pada Oktober 1888. Perlantikan itu mendapat tentangan daripada pembesar Melayu. Penentangan diketuai oleh Dato Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau.
Terdapat beberapa faktor penentangan iaitu :

a.  Kehilangan kuasa dan keistimewaan Sultan dan Pembesar di Pahang.

Kerajaan Bitish telah memperkenalkan Undang-Undang Tanah yang menyekat kebebasan Pembesar Melayu. Selain itu, Sistem Kerah dan Hamba Abdi dihapuskan dan Pembesar Melayu pula  tidak boleh menghakimi kes-kes jenayah dan sivil. British juga menggantikan penghulu-penghulu tradisi dengan pegawai British. Ia menglibatkan Maharajalela Perbai Jelai, Orang Kaya Chenor, Orang Kaya Semantan dan Orang Kaya Termeloh.

b.  Ketidakpuasan Sultan Ahmad, Dato Bahaman dan Tok Gajah

British telah memaksa Sultan Ahmad  menandatangani surat penyerahan kuasa kepada Tengku Mahmud (digemari British). Selain itu, British juga enggan menambah elaun Dato Bahaman yang sebelum ini hanya berjumlah $70 sahaja. Rayuan Tok Gajah untuk menambahkan elaun bulanan juga tidak dilayan.

c.   Ketidakpuasan hati rakyat Pahang

British telah memperkenalkan sistem lesen dan permit kepada masyarakat tempatan yang ingin memungut hasil hutan seperti kayu dan daun rumbia. Rakyat juga dilarang memakai keris yang sebelum ini merupakan pakaian harian mereka. Disamping itu, British telah memperkenalkan cukai tanah dan sistem kerah bagi projek awam dan menglibatkan rakyat tempatan. Denda sebanyak $25 atau penjara tiga bulan boleh dikenakan bagi mereka  yang melanggar arahan kerah.
Rasa tidak puas hati ini telah mencetuskan pemberontakan pada bulan Disember 1891. Pemberontakan ini telah diketuai oleh Dato Bahaman, Mat Kilau dan Tok Gajah dan disertai oleh 700 orang pengikut. Pemberontakan ini berakhir apabila Dato Bahaman dan pengikutnya telah ditewaskan pada 1895 dan terpaksa menyerah diri. Dato Bahaman melarikan diri ke Siam manakala Tok Gajah dan Mat Kilau telah membawa diri ke Terengganu. 


PENENTANGAN DI KELANTAN

Tok Janggut

Melalui perjanjian Inggeris – Siam (Perjanjian Bangkok), kuasa Siam ke atas Kelantan telah diserahkan kepada British. James Scott Mason telah dilantik menjadi penasihat British yang pertama di Kelantan. Penentangan yang tercetus di Kelantan telah dipimpin oleh seorang pedagang tempatan iaitu Haji Hassan bin Munas (Tok Janggut). Antara sebab-sebab berlakunya penentangan di Kelantan adalah:

a.  Ketidakpuasan hati Engku Besar Jeram

Perlantikan pegawai daerah di Pasir Puteh telah mengakibatkan kehilangan kuasa tradisional pembesar Melayu iaitu Engku Besar Jeram Tun Ahmad. Beliau telah kehilangan kuasa dan dipaksa membayar cukai.

b.  Pengenalan Sistem Tanah Baharu 1915

Sistem tanah baharu ini diperkenalkan di mana orang ramai perlu membayar sewa yang tetap.

c.   Pengenalan cukai pertanian

British telah mengenakan cukai terhadap hasil tanaman utama penduduk Kelantan iaitu padi dan kelapa.

d.  Sikap Pegawai Daerah Pasir Puteh

Pegawai Daerah Pasir Puteh yang dilantik oleh British iaitu Che Abdul Latif ialah seorang yang kasar dan terlalu tegas. Beliau telah mencaci pembayar cukai yang lewat.

Perasaan tidak puas hati ini telah mencetuskan pemberontakan yang diketuai oleh Tok Janggut di Pasir Puteh pada 29 April 1915. Dengan bantuan Sultan Kelantan, British telah berjaya menumpaskan pemberontakan ini dan berjaya membunuh Tok Janggut pada 24 Mei 1915.


PENENTANGAN DI TERENGGANU

Haji Abdul Rahman Limbong
 Pemberontakan di Terengganu diketuai oleh Haji Abdul Rahman bin Abdul Hamid (Haji Abdul Rahman Limbong). Pemberontakan ini juga dikenali sebagai Pemberontakan Tani.

Faktor–faktor penentangan di Terengganu :

a.   Kerajaan British telah mengenakan cukai terhadap hasil tanah dan rakyat juga dikenakan cukai kepala.
b.   British memperkenalkan sistem pendidikan barat yang berbeza dengan sistem pendididkan tradisional.
c.   British memperkenalkan Pas Kebenaran kepada sesiapa yang membuka tanah, bercucuk tanam dan memungut hasil hutan yang sebelum ini menjadi hak awam.

Pemberontakan ini telah bermula pada 21 Mei 1928 dimana orang Melayu telah menyerang balai polis dan pejabat daerah di Kuala Berang. Walaubagaimanapun pemberontakan ini berjaya ditumpaskan oleh British dan Haji Abdul Rahman Limbong telah dibuang negeri ke Makkah .


PENENTANGAN DI SARAWAK

Sebelum Perang Dunia Kedua, Sarawak ditadbir oleh Dinasti Brooke iaitu James Brooke, Charles Brooke, dan Charles Vyner Brooke. Semasa pemerintahan dinasti ini terdapat  beberapa pemberontakan.

James Brooke


    Charles Brooke







Charles Vyner Brooke
Pada tahun 1853 James Brooke telah menghapuskan amalan pemburuan kepala. Hal ini telah menimbulkan kemarhan kaum Iban kerana ia merupakan amalan tradisional masyarakat tersebut. Rentap telah mengetuai penentangan terhadap Brooke di mana beliau telah menyerang kubu kerajaan dan berjaya membunuh pegawai Inggeris. British telah cuba membunuh Rentap tetapi tidak berjaya.
Pada tahun 1859 di bawah pentadbiran Charles Brooke pula, pembesar tempatan di bawah Syariff Masahor dan Abdul Ghapur telah membunuh pegawai British iaitu Fox dan Steele. Charles Brooke telah membalas serangan tersebut dan menyebabkan Abdul Ghapur telah dibuang negeri ke Singapura manakala Syariff Masahor telah melarikan diri ke Brunei.
Pada tahun 1893 semasa pentadbiran Charles Brooke, masyarakat Iban telah menyerang Brooke di hulu Sungai Batang Lupar. Ia berpuncanya daripada tindakan  Brooke yang telah menghapuskan adat dan amalan tradisi mereka.

Pada tahun 1920 di bawah pemerintahan Vyner Brooke, masyarakat Dayak telah menentang pembayaran cukai dan memberontak di Sungai Kanowit. Ia diketuai oleh Penghulu Asun. 



PENENTANGAN DI SABAH

Sebelum Perang Dunia Kedua, Sabah telah berada di bawah Syarikat Borneo Utara British. Dua pemberontakan yang pernah tercetus adalah pemberontakan Mat Salleh dan pemberontakan Rundum.

a.  Pemberontakan Mat Salleh

Mat Salleh tidak suka dengan pembangunan yang dilakukan oleh pihak British sehingga menyukarkan rakyat. Oleh itu pada tahun 1894, beliau telah mengetuai satu pemberontakan di Sungai Sugut. Pada tahun 1895, British telah menyerang Kampung Mat Salleh. Mat Salleh telah memberontak dan membakar perkampungan Gaya yang memusnahkan rumah dan Pejabat Residen di Ambong. Akhirnya Mat Salleh terbunuh dalam satu pertempuran pada 31 Januari 1900.

b.  Pemberontakan Rundum

Pemberontakan ini telah dicetuskan oleh kaum Murut. Ia tercetus pada Febuari 1915 di daerah Rundum dan diketuai oleh tokoh tempatan yang bernama Antanum. Faktor-faktor pemberontakan tersebut adalah :

a.    Pengenalan cukai terhadap beras dan ubi kayu yang digunakan untuk membuat tapai. Ini menimbulkan kemarahan rakyat tempatan kerana tapai merupakan  makanan tradisi masyarakat Murut.

b.   Pengenalan Ordinan yang melarang tindakan membersihkan hutan untuk pertanian pindah.

c.   Mengerahkan rakyat tempatan membina jalan-jalan kecil di hutan tanpa sebarang upah.


Pemberontakan ini terdiri daripada 1000 orang yang telah menyerang dan membakar pejabat kerajaan di persidangan. Antanum telah ditawan oleh British dan dihukum bunuh .




PENJAJAHAN JEPUN DI TANAH MELAYU (1941 – 1945)


#  8 Disember 1941,Jepun telah Menyerang Tanah Melayu.

#  15 Februari 1942 , seluruh Tanah Melayu dan Singapura telah ditawan oleh Jepun .

#  Jepun telah memerintah Tanah Melayu sehingga 12 September 1945 .

#  Jepun telah banyak meninggalkan kesan kepada penduduk tempatan walaupon hanya 3 tahun setengah memerintah .


FAKTOR KERAJAAN JEPUN MENAWAN TANAH MELAYU

§   Pihak British kurang bersedia untuk menghadapi peperangan.
§   Kelewatan bantuan ketenteraan dari London dan India.
§   Jepun membuat serangan melalui jalan laut dan tidak menggunakan jalan udara.
§   Tentera Jepun yang terlatih dan berdisiplin.
§   Penggunaan basikal sebagai kenderaan yang mudah dan ringan.

       PENTADBIRAN JEPUN

a.   Bercirikan military  (ketenteraan)





b.   Tanah Melayu dikenali sebagai malai baru yang diketuai oleh seseorang presiden Jepun atau Gunseikan .

c.   Setiap negeri diketuai oleh gabenor Jepun, Singapura dikenali sebagai Syonan .



d.   Ogos 1943, negeri-negeri Melayu Utara terdiri daripada Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah diserahkan kepada Negara Thailand.








TANAH MELAYU SELEPAS PENDUDUKAN JEPUN


i.        Jepun berundur dari Tanah Melayu pada 15 0gos 1945.Hal ini disebabkan oleh kuasa berikat dan akibat pengeboman Hiroshima dan Nagasaki.





ii.        Pesuruhjaya Tinggi Tanah Melayu, Sir Edward Gent telah mengishtiharkan darurat pada 18 Jun 1948 diseluruh Tanah Melayu dan parti komunis diharamkan pada 23 Julai 1948 .

iii.        British telah menubuhkan 2 rancangan untuk membanteras aktiviti komunis iaitu :

a.   Rancangan Templer
b.   Rancangan Briggs

iv.        Rundingan baling antara kerajaan persekutuan Tanah Melayu dengan Parti Komunis Malaya (PKM) yang telah diadakan pada 28 dan 29 Disember 1955 di Sekolah Kebangsaan Tunku Putera Baling, Kedah .



v.        Akhirnya,Kerajaan Persekutuan Malaysia telah mengisytiharkan darurat tamat pada 31 Julai 1960 .

Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

BAB 1 : KESULTANAN MELAYU MELAKA

Bab 4: Perlembagaan Malaysia